comscore
Tumpuan :
Nasional

Shahelmey nafi pemilik Borneo Highway PDP

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya menafikan menjadi pemilik syarikat rakan penyampai projek (PDP) Borneo Highway PDP Sdn Bhd yang bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan 35 pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah antara 2016 hingga 2019.

Menteri Kerja Raya Sabah itu sebaliknya menegaskan syarikat berkenaan adalah usaha sama dengan beberapa syarikat lain iaitu Warisan Tarang Construction Sdn Bhd, UEM Group Bhd dan MMC Corp Bhd.

“Untuk menjelaskan mengenai syarikat ‘project delivery partner’ (PDP) yang melaksanakan Lebuhraya Pan Borneo Sabah, ia bukan milik saya sebagaimana yang cuba digembar-gemburkan.”

“Ia cuma satu usahasama sebuah syarikat dari Sabah iaitu Warisan Tarang Construction Sdn Bhd yang bekerjasama dengan UEM Group Bhd dan MMC Corp Bhd,” katanya pada persidangan dewan undangan negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Beliau tampil memberi penjelasan itu apabila Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN – Lamag) bertanya siapa pemilik syarikat PDP itu ketika sesi perbahasan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN – Senallang) yang menyebut mengenai isu pembatalan PDP ketika WARISAN memerintah Sabah sebelum ini.

Shahelmey berkata ketika syarikat PDP itu masih beroperasi, beliau hanya menjalankan tugas sebagai pengarah urusan iaitu dari 2016 hingga 2018.

“Saya pada waktu itu, iaitu antara 2016 sehingga 2018 hanyalah seorang pengarah urusan yang makan gaji,” katanya.

Syarikat Borneo Highway PDP Sdn Bhd dilantik sebagai PDP untuk menyelaras pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bermula pada 2016 sebelum khidmatnya ditamatkan pada 2019 oleh kerajaan baharu selepas pilihan raya umum (PRU) 2018.

PDP bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelia pembangunan fasa pertama lebuh raya itu dengan kadar kos yang berpatutan.

Sebelum ini, Shahelmey menjelaskan penamatan khidmat PDP adalah antara punca kelewatan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang sehingga kini belum lagi siap.

Shahelmey menganggap tindakan itu salah kerana penamatan perjanjian PDP bermakna model kewangan untuk membiayai perbelanjaan bagi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo juga ditamatkan.

Katanya, ia menyebabkan hanya 15 pakej dapat dilaksanakan daripada 35 pakej keseluruhannya manakala baki 20 pakej ditangguhkan sehingga kelulusan semula pada 2023.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini