KUALA LUMPUR: FELDA mengumumkan pelantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi-nya yang baharu berkuat kuasa pada 1 Julai 2023.
Dalam satu kenyataan, FELDA berkata pihaknya optimis bahawa pelantikan ini akan dapat meneruskan kesinambungan usaha-usaha transformasi yang telah berjalan selama ini demi kemaslahatan warga peneroka serta generasi baharu FELDA keseluruhannya.
FELDA turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tan Sri Idris Jusoh yang menamatkan perkhidmatan sebagai Pengerusi FELDA pada 30 Jun 2023.
Sepanjang tiga tahun perkhidmatan, beliau telah mengangkat FELDA kembali gemilang dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi oleh agensi ini serta warga peneroka.
Antara kejayaan yang paling besar ialah peningkatan produktiviti ladang peneroka yang meningkat lebih dua tan perhektar setahun daripada 17.29 tan perhektar pada tahun 2021 kepada 19.43 tan perhektar pada tahun 2022.
Peningkatan hasil ini secara langsung turut meningkatkan pendapatan warga peneroka.