IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan operasi besar-besaran dalam masa terdekat bagi mengesan pemilik Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menyewakan rumah mereka kepada pihak lain termasuk warga asing.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, KPKT akan menggunakan undang-undang sedia ada bagi memastikan pemilik PPR tidak melanggar undang-undang kerana projek perumahan itu menerima banyak peruntukan subsidi oleh kerajaan.
“Kos kita (bina) sampai RM300,000 tetapi pembeli hanya membayar RM45,000 dulu dengan kata lain, setiap unit rumah kerajaan bayar lebih RM240,000 subsidi untuk mereka.
“Apabila mereka mohon, alasannya tiada rumah tetapi apabila dah dapat, tak duduk dan sewa kepada orang lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jalan Utama Bandar Seri Botani dekat sini hari ini.
Nga berkata KPKT juga mendapati kebanyakan pemilik PPR melanggar kontrak dengan menyewakan rumah mereka kepada pekerja asing termasuk pendatang tanpa izin.
“Saya harap semua pemilik PPR wajib mematuhi syarat-syarat dalam kontrak kerana kita dapati ramai (pemilik) dapat (PPR), dia sewa kepada pekerja asing, ada juga sewa kepada pekerja asing tanpa izin. Perkara ini kita tidak akan kompromi,” katanya.
Sementara itu, Nga berkata KPKT akan melihat keperluan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif PPR di seluruh negara bagi mengatasi masalah vandalisme.
“Jangan paksa saya pasang CCTV dalam lif. Kami percaya rakyat Malaysia tidak memerlukan perkara seperti itu (pasang CCTV). Kita mesti beradab dan perlu sentiasa ada kesedaran sivik,” katanya.
Nga juga menggesa penduduk PPR supaya membayar yuran penyelenggaraan bagi memastikan segala kemudahan yang rosak dapat dibaiki untuk kegunaan penduduk.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.