Tumpuan :
Nasional

Setiausaha Agung parti politik akan dipanggil bincang cadangan RUU Pendanaan Politik

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR: Satu mesyuarat bersama setiausaha agung semua parti politik akan diadakan dalam masa terdekat bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan penggubalan rang undang-undang (RUU) Pendanaan Politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pertemuan turut bertujuan mengetahui pendirian setiap parti dan membincangkan persoalan dasar yang timbul berhubung RUU terbabit.

Katanya, kerajaan juga akan mendengar dan mendapatkan pandangan parti politik kerajaan dan pembangkang melalui pihak universiti sebagai pihak berkecuali bagi memastikan keputusan diambil adalah inklusif dan merangkumi pelbagai perspektif.

Katanya, ia termasuk mengambil kira kajian semua parti politik dan pandangan pihak berkepentingan, termasuk orang awam.

Azalina memaklumkan, kerajaan sudah melaksanakan beberapa mesyuarat pada 2023 hingga 2024 dalam usaha penggubalan RUU Pendanaan Politik yang mana Bahagian Hal Ehwal Undang Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) turut membentangkan cadangan penetapan dasar.

“BHEUU JPM juga mengadakan mesyuarat bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Kewangan (MOF) pada 13 Disember 2024.

“Ia bagi membincangkan cadangan utama Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai had skop bayaran sumbangan dan pendanaan awam untuk parti politik.

“Sesi libat urus turut diadakan dengan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) melalui penganjuran Political Financing International Conference 2025 pada 14 Januari lalu,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) mengenai status Akta Pendanaan Politik dan bila RUU itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Azalina berkata, lapan sesi libat urus sudah diadakan setakat ini, termasuk lima sesi bersama wakil parti politik dan agensi kerajaan serta tiga mesyuarat dengan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Hak Asasi, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.

“Pada 10 Februari lalu, JKPK mengemukakan maklum balas mengenai penambahbaikan skop dasar RUU Pendanaan Politik.

“Pada 12 Februari lalu, saya mempengerusikan mesyuarat bersama JKPK, KRPPM serta kementerian dan agensi kerajaan seperti SPRM, MOF, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan) dan Jabatan Peguam Negara untuk membincangkan hala tuju dan kebolehlaksanaan RUU Pendanaan Politik.

“Masih ada beberapa perkara dasar belum mencapai persetujuan sebulat suara, seperti keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan dan entiti yang akan mengawal selia dana politik,” katanya.

Azalina berkata, cadangan RUU itu dilihat dapat mengurangkan risiko rasuah dan penyalahgunaan kuasa membabitkan ahli politik di Malaysia dan seterusnya memberikan imej yang positif kepada kerajaan dan negara.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini