JAKARTA: Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn mengadakan persidangan video dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said pada Selasa.
Persidangan melalui video itu antara lain membincangkan inisiatif Malaysia dalam timbang tara antarabangsa dan pembiayaan pihak ketiga ketika negara sedang bersiap sedia mengambil alih pengerusian ASEAN pada 2025, menurut kenyataan daripada Sekretariat ASEAN.
Laos, pengerusi ASEAN semasa, dijangka secara rasmi menyerahkan kepimpinan kepada Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober.
Diasaskan pada 8 Ogos 1967, ASEAN kini terdiri daripada 10 negara anggota: Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam.
Timor-Leste kini sedang menunggu keahlian penuh dalam blok itu.- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa