Tumpuan :
Nasional

Setiap pendaki Everest berdepan risiko

FOTO: Hawari Warie/ Facebook

Oleh Fazli Ahmad

KUALA  LUMPUR: Menakluki Gunung Everest menjadi impian setiap pendaki tetapi bukan semuanya layak menjejakkan kaki ke puncak tertinggi dunia yang terletak di Banjaran Himalaya itu.

Selain risiko cuaca, bentuk muka bumi ke laluan puncak setinggi 8,848 meter itu yang terlalu bahaya, menyebabkan semua pendaki berdepan risiko mengalami Acute Mountain Sickness (AMS) atau akut gunung dan ia antara punca ramai pendaki terkorban di gunung itu.

Prof Madya Dr Rosnah Ismail, Pensyarah Perubatan UKM

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Rosnah Ismail, AMS mempunyai beberapa peringkat dan jika tidak segara dirawat boleh membawa maut.

‘AMS boleh menyebabkan paru-paru berair atau dikenali sebagai High Altitude Pulmonary Edema (HAPE).”

“Pendaki juga boleh mengalami sel otak bengkak dengan cecair yang disebabkan oleh kekurangan oksigen di altitud tinggi atau dikenali sebagai High Altitude Cerebral Edema (HACE),”

“Kedua-dua jenis AMS ini boleh meragut nyawa pendaki.” katanya kepada BULETIN TV3.

Beliau yang turut aktif mendaki mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bahawa Malaysia perlu mempunyai pakar perubatan berkaitan aktiviti pendakian gunung dan setiap misi pendakian turut disertai pasukan perubatan sendiri.

Menerusi kenyataan media dikeluarkan Istana Negara kelmarin, baginda turut  berpandangan negara perlu mempunyai Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dilatih khas untuk operasi di tempat berisiko tinggi dan ekstrim seperti Gunung Everest ditubuhkan dan pasukan khas itu boleh diatur gerak segera jika sekiranya ada keperluan.

Perkara itu dititahkan baginda susulan kematian pendaki Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub kerana masalah kesihatan ketika berada 8,000 meter dari aras laut serta seorang pendaki Orang Kurang Upaya (OKU) Muhammad Hawari Hashim, hilang ketika misi menawan puncak Everest, Jumaat lalu.

Dr Anhar Kamardudin, Pakar Perubatan Kecemasan PPUM

Bagi Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr. Anhar Kamarudin pula menjunjung kasih atas titah Al-Sultan Abdullah kerana keprihatinan baginda terhadap keperluan perubatan aktiviti lasak dan ekstrim seperti mendaki itu kerana aktiviti lasak itu semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, aktiviti mendaki gunung adalah sukan ekstrim dan kesiapsiagaan dari segi keselamatan dan perubatan adalah amat penting.

“Petugas kesihatan bukan sahaja boleh membuat saringan awal berdasarkan tahap kesihatan ahli kumpulan namun juga dapat memantau keadaan pendaki setiap masa,”

FOTO: Hawari Warie/ Facebook

Dr Anhar kerap mendaki di dalam dan luar negara berkata, AMS boleh dialami pendaki tanpa mengira peringkat umur dan tahap kecergasan.

“Lazimnya bilangan pendaki yang berisiko mendapat simptom AMS pada paras 3000 meter boleh mencecah 75 peratus jika mereka tidak menyesuaikan diri dengan keadaan di paras yang tinggi,”

“Gejala utama AMS ialah sakit kepala, mabuk, muntah, hilang selera makan, keletihan dan gangguan tidur kerana paras oksigen berkurangan menyebabkan fungsi badan terjejas.

FOTO: Hawari Warie/ Facebook

“Terdapat bantuan ubat tertentu untuk mencegah dan merawat AMS tetapi rawatan segera ialah membawa turun pendaki ke paras lebih rendah dengan antara 500 dan 1000 meter untuk penstabilan semula sistem pengambilan oksigen dalam tubuh manusia terutamanya ke bahagian otak dan paru-paru.” katanya

Media Nepal melaporkan sejak Mac lalu sembilan kematian dilaporkan di Gunung Everest dan hingga kini lebih 11,000 pendaki dari seluruh dunia sudah menjejaki puncak gunung terbabit sejak 1953.

Hingga kini, lebih 320 pendaki dilaporkan terkorban di gunung berkenaan.

Loading...
Terkini