Tumpuan :
Nasional

‘Setiap negara berhak ada program pertahanan, tetapi jangan timbulkan provokasi’ – PM

PM Anwar dalam lawatannya ke Korea Selatan menerima jemputan daripada Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol. Foto Anwar Ibrahim/FB

SEOUL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan pendirian bahawa setiap negara berhak melaksanakan program pertahanan negara, namun tidak sepatutnya membabitkan provokasi.

Susulan itu, Perdana Menteri berkata, beliau mengecam tindakan Korea Utara yang melancarkan peluru berpadu balistik Oktober lalu yang mengancam keselamatan kawasan Korea Selatan.

“Bagi saya setiap negara mempunyai hak untuk mengadakan apa-apa program pertahanan mereka, tetapi tidak berhak menimbulkan provokasi kerana tindakan ini hanya akan menimbulkan ketegangan rantau,” katanya kepada media Malaysia pada sidang media hari terakhir lawatannya ke Korea Selatan, hari ini.

Anwar menerima jemputan daripada Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol dan ini lawatan pertamanya ke republik ini.

Tentera Korea Selatan mendakwa Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat pada awal bulan ini dan ia adalah pelancaran kedua negara itu terhadap Korea Selatan.

Pada hujung Oktober lalu, Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) iaitu bahan api pepejal yang paling maju dan berkuasa dalam ujian senjata pertama Korea Utara sejak negara itu didakwa menghantar tentera mereka bagi membantu Russia berperang dengan Ukraine.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata, mereka mengesan pelancaran beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat di kawasan perairan timur semenanjung Korea Selatan.

Peluru berpandu berkenaan disasarkan sejauh kira-kira 400 kilometer (km) dan tentera Korea Selatan mendakwa mereka berjaya menjejaki pelancaran peluru berpandu berkenaan secara langsung serta memberi maklumat berkenaan kepada Jepun dan Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Anwar berkata, Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap wawasan Presiden Suk Yeol untuk menyatukan Semenanjung Korea.

Pendirian itu disambut baik dan dizahirkan secara langsung oleh Suk Yeol kepada Anwar pada pertemuan kedua-dua pemimpin.

“Presiden Suk Yeol mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kita yang memberi dokongan kepada dia untuk bergerak ke arah penyatuan Korea. Daripada permusuhan dan perbalahan, lebih baik mereka bergerak ke arah penyatuan,” katanya.

Anwar mengakhiri lawatan kerja di Korea Selatan yang bermula sejak Ahad lalu, dengan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Delegasi Malaysia juga disertai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini