GEORGE TOWN: Setiap Komuniti MADANI di seluruh negara akan menerima geran tahunan sebanyak RM10,000 iaitu RM3,000 bagi pentadbiran manakala RM7,000 lagi untuk aktiviti dan program.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata setakat ini, kerajaan menyalurkan geran pentadbiran RM3,000 terlebih dahulu kepada setiap Komuniti MADANI untuk diguna bagi menggerakkan komuniti dari segi pentadbiran dan penyeliaan.
“Nanti melalui pegawai-pegawai penerangan daerah, kita akan aktifkan Komuniti MADANI sekali dengan peruntukan RM7,000 untuk melaksanakan program di akar umbi. Jika buat kerja dengan baik, insya-Allah kita boleh mohon dengan MoF (Kementerian Kewangan) bagi kenaikan tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan watikah penubuhan rasmi Komuniti MADANI kepada ketua dan wakil komuniti di seluruh Pulau Pinang pada Program Jiwa MADANI yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor di sini hari ini.
Fahmi memaklumkan terdapat 1,878 Komuniti MADANI di seluruh negara termasuk 120 yang telah ditubuhkan di Pulau Pinang membabitkan 40 kawasan Dewan Undangan Negeri.
Beliau berkata berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, Komuniti MADANI adalah jentera komunikasi dalam menyalurkan maklumat kepada masyarakat selain mendapatkan maklum balas rakyat di peringkat akar umbi.
Justeru, Fahmi berharap Komuniti MADANI dapat menangani isu fitnah serta berita palsu secara lebih terancang dan sebagai usaha kerajaan untuk memastikan media bebas membuat pelaporan tanpa sebarang kekangan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata berdasarkan perbincangan pihak kementerian dengan pasukan D11 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang menguruskan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan wanita, aplikasi WhatsApp adalah antara platform paling banyak disalah guna oleh golongan pedofilia.
“Ini adalah satu penemuan yang sangat mengejutkan dan dalam perbincangan kementerian dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Meta, kita berharap untuk memberi satu penegasan yang kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak boleh memiliki akaun WhatsApp, Facebook, Instagram dan TikTok.
“Sekiranya perlu, MCMC sedia untuk mengambil tindakan yang tegas. Waktu ini kita mendapat sedikit kerjasama tetapi tidak memadai kerana kebanyakan platform hanya meletakkan terma dan syarat tetapi tidak melakukan apa-apa secara proaktif untuk melarang kanak-kanak daripada mendaftar,” katanya.
Fahmi juga berkata ia suatu perkara yang membimbangkan dan tindakan tegas itu adalah demi keselamatan kanak-kanak dan keluarga di negara ini.
Pada 21 April lepas, beliau mengingatkan golongan ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka yang berusia bawah 13 tahun tidak memiliki sebarang akaun media sosial kerana MCMC mendapati mereka tidak sesuai menggunakan mana-mana media sosial. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.