KUANTAN: “Setiap kali terdengar bunyi angin, hati berderau kerana masih segar dalam ingatan kejadian kelmarin, bumbung kedai kami diterbangkan angin,” kata Fatimah Besar, 48.
Dalam kejadian 5.30 petang, bumbung kedai makan disewa Fatimah di Batu Tiga Jalan Kuantan-Gambang di sini serta bumbung bengkel dan warung berdekatan diterbangkan ribut.
Fatimah berkata, ketika kejadian dia dan tiga anaknya sedang membuat persiapan untuk memulakan perniagaan, tiba-tiba berlaku hujan lebat dan angin kencang melanda dua kali.
“Tiba-tiba hujan dan angin kencang melanda, kami tak dapat berbuat apa-apa hanya berserah kepada Allah.
“Ini kejadian pertama kawasan ini dilanda ribut sejak tiga tahun berniaga di sini,” katanya.
Ketika mula berniaga di sini, katanya, berlaku banjir besar menyebabkan kawasan perniagaan mereka tenggelam, kali ini berlaku ribut yang memusnahkan banyak harta benda.
Katanya, dia kerugian lebih RM25,000 membabitkan binaan kedai terbabit yang perlu dibaiki dan upah, turut rosak bahan untuk menyediakan pelbagai masakan.
“Saya tidak pasti bila akan memulakan perniagaan, mungkin seminggu lagi selepas kerja membina bumbung baharu selesai,” katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati sebahagian 36 penduduk Rancangan Rumah Murah (RRM) Batu Tiga Setengah yang menjadi mangsa angin kencang kelmarin telah selesai membaiki bahagian atap rumah mereka.
Sebanyak 62 rumah di tujuh penempatan di daerah ini rosak akibat ribut kelmarin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.