SHAH ALAM: Cemas, berdebar-debar dan menggigil. Begitulah situasi menyelubungi rata-rata pekerja di pusat beli-belah di Setia Alam di sini susulan kejadian tembakan malam tadi.
Pekerja premis kecantikan, Aishah Ismail, 20, berkata, lokasi kejadian pada jarak kira-kira 40 meter dari tempat kerjanya ketika kejadian berlaku kira-kira 9.55 malam.
“Saya sedang memberikan sampel pewangi (kepada pelanggan), tiba-tiba terdengar letupan dengan kuat dua kali. Saya tidak tahu bunyi apa ketika itu.
“Saya memandang ke arah pintu menghala ke tangga, saya nampak dua pekerja pembersihan dalam keadaan mencemaskan,” katanya ketika ditemui di pusat beli-belah itu di sini, hari ini.
Apabila terdengar bunyi tembakan ketiga, Aishah melihat pekerja pembersihan yang cedera diusung ke tandas oleh pekerja lain dan ramai orang turut ke tandas.
Aishah berkata, selepas itu orang awam menjerit supaya semua yang di dalam pusat beli-belah itu lari menyelamatkan diri.
Dalam keadaan menggigil dan berdebar ketika itu, Aishah dan rakan sekerja terus lari tidak tentu arah meninggalkan premis tempatnya bekerja serta segala barang peribadi di situ.
“Memang tidak sempat tutup outlet (kedai) malam tadi, hanya telefon pintar sahaja di tangan saya… dokumen lain seperti beg tangan dan kad pengenalan tidak sempat diambil.
“Lebih lima kali bunyi tembakan saya dengar malam tadi… setiap kali bunyi tembakan, saya lari sebab saya takut sekiranya terserempak dengan orang itu (suspek).
“Saya terus berlari dan hanya fikir antara hidup dan mati sahaja ketika itu,” katanya.
Namun, Aishah berkata, dia dan rakan sekerja bersyukur kerana semua barang peribadi yang ditinggalkan dalam keadaan premis perniagaan terbabit terbuka masih selamat.
“Sampai hari ini saya masih menggigil, tetapi sebab saya hendak cari rezeki, saya datang juga… saya masih terbayang-bayang, terngiang-ngiang bunyi tembakan semalam… memang saya tak menjangka berdepan situasi semalam,” katanya.
Tinjauan Harian Metro mendapati operasi pusat beli-belah berjalan seperti biasa meskipun jumlah pengunjung tidak begitu ramai hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] Kejadian tembakan dilaporkan berlaku di pusat beli belah Setia Alam
- Insiden tembakan: Lelaki cedera di kaki, polis giat buru suspek
- Suspek kes tembak di pusat beli-belah Setia Alam dikenalpasti
- Kawalan keselamatan di pusat beli-belah kes tembakan diperketat
- Polis percaya suspek kes tembak di pusat beli-belah masih di Selangor