![](https://media.buletintv3.my/2023/12/CMS-WAVE-TV3-8TV.jpg)
Oleh: Nini Shahira Anuar
PETALING JAYA: Mengumpul setem bukan sekadar hobi, tetapi juga dapat menjadi bukti catatan sejarah sesebuah negara.
Penasihat Kehormat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Dr. Hafidzi Mohd Noor yang juga seorang daripada pengumpul setem berkata, banyak perkara yang boleh dipelajari daripada hobi berkenaan kerana ia menimbulkan minat terhadap sejarah dan membina kepekaan terhadap geografi dan politik.
“Melalui setem kita boleh melihat negara-negara bekas tanah jajahan British dan bagaimana ia berubah dengan peredaran zaman,” katanya.
![](https://media.buletintv3.my/2023/12/AuywaoPF-BULETIN-TV3-40.jpg)
Antara koleksi setem dimilikinya adalah setem negara Palestin yang bercop pada tahun 1939.
Jelasnya, ia adalah bukti bahawa walaupun berada dalam zaman mandat (penjajahan) British, negara berkenaan adalah negara Palestin.
“Kini negara Palestin semakin lenyap dari peta dunia dan Israel ditonjolkan sebagai sebuah negara berdaulat yang merdeka. Sedangkan Israel tidak pernah wujud sebelum 1948 dan ia berdiri secara tidak sah di atas negara Palestin yang dirampas pada 1947 dan penaklukan ke atas Baitul Maqdis Timur, Tebing Barat dan Gaza pada 1967,” katanya.
![](https://media.buletintv3.my/2023/12/B4Omy2do-CMS-BTV3.jpg)
Bercakap mengenai inisiatif setem khas ‘Palestin Merdeka’ oleh Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) yang bakal dilancarkan 18 Januari depan, Dr. Hafidzi cukup kagum dengan inisiatif yang disifatkan sangat berani dan meyakinkan.
“Ia menghantar satu mesej yang sangat jelas, bukan sekadar memperingati Palestin ataupun menyokong perjuangan Palestin tapi diletakkan tema ‘Palestin Merdeka’. Ini sangat meyakinkan dan berani, maksudnya kita tidak teragak-agak dan kita tidak sangsi bahawa Palestin akan merdeka satu hari nanti,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
![](https://media.buletintv3.my/2023/12/dAKrkpUT-CMS-2.jpg)
Baru-baru ini Pos Malaysia melancarkan set setem khas ‘Palestin Merdeka’ sebagai tanda solidariti Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pelancaran setem khas itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya melambangkan solidariti dan sokongan penuh rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan dan keamanan.
![](https://media.buletintv3.my/2023/12/54KU6Owa-BULETIN-TV3-7.jpg)
Tambahnya, ia adalah kali ketiga setem berkaitan Palestin dikeluarkan, kali pertama pada 1978 dan kali kedua pada 1982, bukti komitmen kerajaan dan rakyat Malaysia yang teguh bersama menyokong perjuangan rakyat Palestin sejak dahulu lagi.
Setem khas berkenaan akan dijual secara dalam talian di www.pos.com.my/shop dan di Pejabat Pos dan Biro Filateli Pos Malaysia pada harga RM32.50 setiap setem.
Setem tersebut juga boleh dibeli dalam bentuk helaian setem, mengandungi 20 setem setiap helaian pada harga RM26, Sampul Hari Pertama pula boleh didapati pada harga RM0.50 dan Folder pada harga RM6.