KLANG: Polis mengesahkan proses bedah siasat yang dijalankan terhadap 10 mangsa nahas tragedi pesawat ringan terhempas di Elmina, Shah Alam di sini, selesai malam tadi.
Ketika ini PDRM sedang menunggu hasil padanan asid deoksiribonukleik (DNA).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lebih 300 sampel cebisan mayat sudah dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan padanan DNA dan 30 peratus berjaya diselesaikan.
Menurutnya, seramai 30 pegawai patologi dan forensik terbabit dalam bedah siasat berkenaan.
“Semalam kita mendapat satu padanan DNA yang positif milik penunggang p-hailing Muhamad Hafiz Muhamad Saleh 32 dan jenazah diserahkan kepada warisnya pada pagi ini.
“Pihak Jabatan Kimia sedang berusaha keras untuk melengkapkan semua padanan DNA dan kita positif semua urusan akan selesai Isnin ini,” katanya pada sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.
Beliau berkata, selain padanan DNA, urusan pengecaman jenazah juga dibuat menggunakan rekod pergigian dan cap jari.
“Setakat ini polis telah berjaya mengenal pasti lapan cap jari mangsa.
“Satu lagi jenazah dijangka dapat dikenal pasti pada hari ini dan boleh diserahkan esok,”katanya.
Hussein berkata, beliau berharap waris mangsa nahas berkenaan dapat menerima seadanya keadaan jenazah yang diserahkan kepada mereka kelak.
Katanya, terdapat cebisan-cebisan mayat yang terbakar dan tidak dapat diproses untuk mencari padanan DNA.
“Waris juga harus bersabar kerana proses padanan DNA adalah rumit dan sensitif dan kita mahu semua cebisan mayat diserahkan kepada pemilik yang sebenarnya,” katanya.
Tragedi yang berlaku pada 2.48 petang kelmarin itu menyaksikan sebuah pesawat peribadi terhempas dan mengorbankan kesemua dua kru dan enam penumpang selain meragut nyawa dua pengguna jalan raya masing-masing seorang pemandu e-hailing dan p-hailing.