Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
PETALING JAYA: Hari ini genap setahun, Datuk Seri Anwar dilantik menjadi Perdana Menteri selesai pilihan raya umum ke-15 yang cukup sengit.
Jika perjalanan beliau sebagai Ahli Parlimen pembangkang penuh onak dan duri, tempoh setahun Perdana Menteri ke-10 juga tidak kurangnya sarat dengan dugaan dan cabaran.
Selain tanggungjawab sukar untuk melindungi Malaysia daripada tempias geopolitik dan ekonomi global yang tidak menentu, Datuk Seri Anwar juga fokus memastikan kestabilan politik yang dipulihkan… terus kekal.
Memerangi rasuah menjadi keutamaan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa beberapa individu berprofil tinggi ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan berkaitan rasuah dan penggubahan wang haram.
Dalam meluncurkan program ekonominya, Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata kerajaan mensasarkan golongan miskin dan terpinggir yang memerlukan pembelaan segera.
Pelbagai bantuan bernilai berbilion ringgit turut diluluskan untuk pesawah dan golongan senasib.
“Kalau nak datangkan dasar ekonomi,ekonomi itu harus ihsan harus manusiawi harus bantu yang susah golongan rentan dan ini dapat dilihat melalui inisiatif diperkenalkan”,katanya lagi
Menerusi insiatif payung rahmah-pelbagai jenis bantuan dan inisiatif bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar terus diperkasa.
Pembelaan golongan memerlukan terpaksa diimbangi dengan keperluan menguruskan hutang negara lebih RM 1.3 trillion.
Hutang negara juga melebar akibat pemberian subisidi pukal yang mencecah lebih RM80 bilion tahun lalu dan boleh melepasi lebih RM100 bilion setahun jika tidak diubah kepada subsidi bersasar.
Selain itu, kos sara hidup melonjak memberi cabaran tersendiri kepada kerajaan Datuk Seri Anwar yang turut dibelenggu dengan isu bekalan beras tempatan dan risiko kenaikan harga barangan seperti gula.
Walaupun terus mencatat pertumbuhan, jumlah perdagangan Malaysia menunjukkan trend menyusut akibat permintaan global perlahan dan harga komoditi rendah.
Dalam pada itu, Naib Canselor Unisel Prof Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata , Datuk Seri Anwar lantang mengangkat isu keganasan di Gaza, sekaligus menyerlahkan suara Malaysia dalam kalangan negara Islam.
“Kalau dari segi kepentingan kita bukan negara kaya strategik sudah tentu tetapi satu aspek dalam dalamhubungan luar ini adalah adalah hubungan peribadi itulah kelebihan yang ada pada Datuk Seri Anwar”, katanya kepada Buletin TV3.
Antara kejayaan utama Datuk Seri Anwar sejak November lalu ialah memulihkan kestabilan politik negara dengan membentuk sebuah kerajaan stabil dan kukuh.. serta dapat menguruskan perbezaan hal kepartian secara baik.
Malah Datuk Seri Anwar memperkukuhkan kestabilan kerajaan dengan meraih sokongan empat Ahli Parlimen Bersatu, satu tamparan bagi Presiden parti itu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi Perikatan Nasional, (PN).
Pun begitu, PN, khususnya Bersatu dan PAS terus menjadi pesaing politik utama kepada Datuk Seri Anwar dan sekutunya dalam gabungan kerajaan, sebagaimana yang dipancarkan menerusi keputusan pilihan raya enam negeri Ogos lalu.