
KUALA LUMPUR: Pertimbangan untuk menentukan sesi persekolahan di Semenanjung bermula 8 pagi seperti dicadangkan beberapa pihak bukanlah perkara utama yang menjadi tumpuan Kementerian Pendidikan (KPM).
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata sebaliknya banyak lagi isu lain yang berkaitan sektor pendidikan yang perlu diberikan perhatian oleh pihak kementerian.
Justeru, beliau berkata KPM tidak bercadang untuk mengutamakan isu terbabit untuk dilaksanakan dalam masa terdekat ini.
Bagaimanapun, katanya pihak kementerian mendengar cadangan berkenaan dan paling penting pandangan daripada pihak ibu bapa dan semua pemegang taruh dalam bidang pendidikan.
“Pandangan berkenaan kita ambil, tetapi kita juga harus melihat daripada keseluruhan pandangan.
“Bagaimanapun tiada ketetapan yang akan dilakukan oleh KPM ketika ini,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Seminar Perdana Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) di sini hari ini.
Terdahulu, kerajaan disaran menetapkan sistem persekolahan di Semenanjung bermula jam 8 pagi bagi meraikan konsep Malaysia Madani serta slogan ‘Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera’.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, berkata kerajaan sepatutnya ada rasa belas kasihan dan empati pada keadaan guru-guru, ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa bangun seawal jam 4.30 pagi.
Pelbagai alasan diberikan termasuk murid bandar terpaksa meredah kesesakan jalan raya seawal jam 6 pagi untuk ke sekolah, manakala di pedalaman anak kecil terpaksa melalui jalan becak dan berlumpur, serta berperahu ke sekolah sedangkan hari masih gelap.
Cadangan mengenai penentuan sesi persekolahan jam 8 pagi tiu turut mengundang perdebatan dengan pelbagai reaksi dan cadangan diterima berkaitan isu terbabit.