KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ketiga Persidangan Dewan Rakyat yang masuk minggu keempat hari ini dimulakan dengan penerangan Perdana Menteri.
Ia susulan usul dikemukakan Datuk Sri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) sebaik tirai Parlimen dibuka jam 10 pagi tadi.
Azalina berkata, cadangan itu dikemukakan di bawah peraturan mesyuarat 14 (1) (i).
“Saya mencadangkan aturan peraturan mesyuarat dimulakan dengan penerangan Perdana Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14 (1) (i) dan selepas itu disambung semula dengan aturan mesyuarat hari ini,” katanya di Dewan Rakyat, pagi ini.
Usul terbabit kemudian disokong M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat).
Susulan usul itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat memutuskan melalui undian suara dengan semua Ahli Parlimen mempersetujuinya.
Katanya, bagi sesi penerangan itu, masing-masing seorang wakil Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan dibenarkan untuk bangun bagi memberikan maklum balas atau bertanyakan soalan sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan jawapan balas.
Untuk rekod, minggu lalu, sebelum menangguhkan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor memaklumkan Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat pada setiap Selasa yang lazimnya dijawab Perdana Menteri akan dijawab oleh menteri-menteri sepanjang November ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.