Tumpuan :
Nasional

Jemaah Menteri adakan pemukiman, nilai prestasi masing-masing

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan dan amanat tahun baharu dalam Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Januari tahun 2025.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri dijadual untuk melaksanakan sesi pemukiman buat kali ketiga dalam tempoh terdekat bagi menilai prestasi masing-masing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu juga bagi memastikan perbincangan dapat dilakukan bagi mengatasi kelemahan dan mencambah idea baharu.

“Kita dalam beberapa minggu akan mulakan dengan pemukiman jemaah menteri. Retreat itu bukan untuk mencatatkan kejayaan masing-msing, tidak.

“Untuk menyatakan bahawa ada ruang untuk diperbaiki dan kelemahan yang harus diperbetulkan dan ada tahap kesungguhan harus ditingkatkan.” Katanya dalam ucapan amanat tahun baharu 2025 bersama warga Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Anwar, sesi pemukiman itu tidak akan terhenti setakat dalam kalangan Jemaah Menteri, sebaliknya diperluaskan kepada peringkat Ketua Setiausaha (KSU) serta Ketua Pengarah.

“Apabila kita kumpul, kita bincang bersama, kita nilai prestasi masing-masing, kita beri pengiktirafan, kita berikan idea baharu, itu kita fikirkan bersama.

“Semangat ini harus ada dalam kalangan kita. Ia tidak akan jadi perubahan kepada negara ini sebagai negara hebat kalau tidak ada semangat dan kecintaan itu.

“Sebab itu tanggungjawab kepada bukan sahaja menteri, KSU, ketua pengarah itu harus lebih daripada sekadar meneruskan kerja seperti biasa, mesti cari kaedah baharu,” Ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini