comscore
Tumpuan :
Nasional

Sesi dialog bersama siswa beri peluang Fahmi dekati wartawan pelapis

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil merasmikan Jelajah Hawana 2024, Dialog Bersama Mahasiswa di Pustaka Negeri Petra Jaya Sarawak. -FPTP: NSTP

KUCHING: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini meluangkan masa kira-kira satu jam mendekati mahasiswa dari bidang komunikasi dan sains sosial, yang berminat untuk mendalami dunia kewartawanan menerusi sesi dialog program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa.

Dihadiri kira-kira 250 mahasiswa dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Swinburne dan Kolej SEGi Sarawak, pelajar berkenaan begitu teruja melontarkan soalan kepada Fahmi dengan rata-rata bertanyakan isu berkaitan kebebasan media, penyebaran berita palsu dan cabaran industri media masa kini.

“Jika beginilah kualiti soalan yang diberikan mahsiswa, saya rasa Malaysia mempunyai masa depan yang cerah (untuk pelapis wartawan akan datang),” kata Fahmi.

Hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Sementara itu, Fahmi dalam sesi dialognya berharap Institut Pengajian Tinggi tempatan dapat menganjurkan program-program khas bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai ini, bagi meraikan keistimewaan konsep raja berpelembagaan yang diamalkan di Malaysia.

“Saya amat berbesar hati untuk menjadi Pengerusi Jawatankuasa Acara-acara bagi Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 kali ini, dan ini satu perluang yang amat jarang berlaku, kerana ia diadakan setiap lima tahun.

“Adalah bagus untuk institusi pengajian tinggi menganjurkan beberapa acara bagi menunjukkan perbezaaan dan keunikan kita dengan negara seperti Brunei yang mengamalkan monarki mutlak,” katanya.

Selain dialog bersama Fahmi, perkongsian ilmu dan pengalaman turut diadakan dengan membincangkan topik berkenaan semak fakta oleh Editor MyCheck Malaysia dan Unit Data Journalism Bernama Sakina Mohamed dan Mobile Journalism (MoJO) oleh Wartawan Kanan Meja Digital Media Bernama Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini