comscore
Tumpuan :
Nasional

Sesi ambil keterangan Ustaz Wadi Annuar gagal, peguam dilarang hadir

Wadi Annuar (tengah) bersama peguamnya, Mohd Jamil Yaacob (dua dari kiri) dan Mohamad Kamarulzaman Jusoh (kiri sekali) menceritakan semula situasi berlaku di Pejabat JAIPs di Kangar selepas sesi temubual pendakwah itu oleh JAIPs gagal dijalankan. – FOTO: NSTP

KANGAR: Sesi ambil keterangan Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) di sini, hari ini gagal selepas peguamnya tidak dibenarkan tampil bersama.

Pendakwah bebas itu tampil seperti dijanjikan di Pejabat JAIPs bagi memberi keterangan berhubung penyertaannya pada program Solat Terawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar yang diadakan di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, di sini  28 Mac lalu tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Ustaz Wadi yang ditemani dua peguamnya, Mohd Jamil Yaacob dan Mohamad Kamarulzaman Jusoh tiba jam 10 pagi sebelum dibenarkan memasuki pejabat JAIPs setengah jam kemudian.

Mohd Jamil mendakwa sepanjang sejam mereka  di premis berkenaan, pelbagai kerenah birokrasi  cuba ditimbulkan pegawai JAIPs menyebabkan mereka mengambil keputusan beredar tanpa proses memberi keterangan.

Katanya, anak guamnya sudah memenuhi arahan untuk tampil ke pejabat JAIPs hari ini  namun pelbagai hak termasuk mendapatkan peguam ketika sesi temubual dinafikan JAIPs.

“Namun, semasa kami berada di situ, mereka (JAIPs) menyatakan pula sesi itu adalah sebagai sesi siasatan jadi kami tidak pasti sesi ini sebenarnya yang mana satu sama ada sesi siasatan, temubual, perjumpaan mesra atau sembang santai kerana kami tidak pasti.

“Apabila kami bertanyakan bahawa sesi yang dijalankan itu termaktub dalam enakmen apa? pegawai JAIPs itu juga gagal memberi penjelasan malah kami pula ditanya mengapa kami hendak tahu mengenai itu (Enakmen) dan ini kami rasakan sebagai satu proses yang tidak munasabah,” katanya kepada pemberita di Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang di sini, hari ini.

Mohd Jamil berkata, pada mulanya mereka dibenarkan masuk namun Ustaz Wadi hanya boleh membawa seorang peguam sahaja untuk menemaninya.

“Ini juga adalah sesuatu perkara yang tidak munasabah kerana anak guam saya mahukan dua peguam yang dilantik olehnya mengiringinya jadi kami tidak nampak sebab mengapa kehadiran kami sebagai peguam perlu dihalang oleh JAIPs.

“Kami pohon JAIPs supaya menghormati hak Ustaz Wadi seperti akses kepada kehadiran peguam dalam sesi berkenaan. Ini adalah prosedur biasa di mana peguam sememangnya mempunyai hak mewakili anak guamnya untuk bersama dalam sesi temubual atau sesi proses siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini