Tumpuan :
Nasional

SESB siasat dakwaan bil penduduk kampung cecah ribuan ringgit

Foto hiasan

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) membuat laporan polis berhubung isu bil elektrik yang didakwa terlalu tinggi diterima pengguna di tiga kampung di Kota Belud, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir Mohd Yaakob Jaafar berkata, ia membabitkan Kampung Kulambai, Kampung Kuala Abai dan Kampung Kulambai Dundau.

Katanya, laporan polis hari ini dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan berikutan kemungkinan wujud salah laku dan perbuatan melanggar undang-undang oleh pihak tertentu.

Beliau berkata, SESB juga dalam proses mengambil tindakan undang-undang dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa.

“Pada masa yang sama, SESB sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan memastikan ia tidak berulang.

“SESB turut mempertimbangkan untuk membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya wujud elemen rasuah berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, SESB tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak termasuk pekerjanya sendiri jika didapati ada terbabit dalam salah guna kuasa yang membawa kepada ketirisan bekalan elektrik dan membebankan pelanggan.

“SESB juga mengalu-alukan orang ramai memberikan maklumat dan maklum balas bagi meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan elektrik selari dengan dasar SESB dan kerajaan,” katanya.

Penduduk di tiga kampung terbabit sebelum ini  turut membuat laporan polis selepas menerima bil elektrik yang tidak masuk akal sehingga mencecah puluhan ribu ringgit berbanding kebiasaannya hanya ratusan ringgit atau kurang daripada itu.

Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan pula berkata pihaknya turut menerima aduan daripada orang ramai yang menjadi ‘mangsa’ bil elektrik terlalu tinggi, khususnya golongan B40.

Beliau berharap SESB mengambil langkah drastik menangani isu itu dengan segera.

Loading...
Terkini