Tumpuan :
Nasional

Serunding kubis UMS terima pengiktirafan produk inovasi

Foto : Ihsan UMS

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima pengiktirafan hasil produk inovasi daripada kubis pada Persidangan Komuniti Pertanian Kebangsaan (PKPK) 2023 yang diadakan di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Serunding kubis yang diinovasikan penyelidik universiti ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu merangkul Anugerah Reruai Agensi Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi kategori Reruai Inovatif.

Ketua Kumpulan Penyelidik UMS, Dr Jurry Foo berkata, idea penghasilan serunding kubis itu tercetus selepas pihaknya melihat kesusahan petani dan peniaga tempatan yang berdepan lambakan sayuran itu disebabkan PKP ketika pandemik COVID-19.

“Serunding kubis adalah inisiatif UMS bagi membantu petani dan peniaga, khususnya di daerah Ranau yang berdepan kekangan pergerakan akibat pelaksanaan PKP yang menyukarkan mereka memasarkan hasil pertanian masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS berkata, kejayaan itu membuktikan keupayaan UMS membudayakan inovasi sejajar dengan peranan universiti sebagai peneraju masyarakat berinovatif.

Katanya, inovasi serunding kubis itu juga pernah memenangi pingat emas pada Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Kebangsaan (iCompEx) 2021 anjuran Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS).

Sementara itu, Pengurus D’Dompuron Enterprise, Rojaliah Hanti yang kini mengusahakan produk serunding kubis berkata, beliau bersyukur kerana inovasi UMS itu membuka peluang perniagaan dan menjana pendapatan sampingan kepada peniaga hasil pertanian.

“Sepanjang PKPK 2023, produk ini berjaya menarik perhatian pengunjung kerana rasanya yang menarik, unik dan sedap.

“Justeru, saya berhasrat untuk meningkatkan lagi kapasiti pengilangan dan pengeluaran produk ini agar dapat membabitkan lebih ramai ahli komuniti dari kampung kami di Libang, Ranau sebagai penerima manfaat,” katanya.

Pengembangan produk serunding kubis yang diusahakan syarikatnya turut mendapat bimbingan dan bantuan daripada Jabatan Pertanian Negeri Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Sabah, dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Loading...
Terkini