IPOH: Seramai 43 individu ditahan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam serbuan di sebuah premis dipercayai pusat pelacuran di Jalan CM Yusof di sini.
Serbuan dilakukan sepasukan 30 pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JAIPk.
Operasi selama empat setengah jam bermula jam 8.30 malam pada Jumaat itu turut dibantu sepasukan anggota daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak.
Menerusi hantaran dikongsikan melalui Facebook Bahagian Penguatkuasaan JAIPk, kesemua individu yang dicekup terdiri daripada lelaki dan wanita.
“Bahagian Penguatkuasaan, JAIPk telah menyerbu sebuah premis dipercayai dijadikan pusat pelacuran di Jalan CM Yusuf, Ipoh malam tadi.
“Dalam serbuan yang bermula 8.30 malam dan berakhir 1 pagi itu, seramai 43 orang lelaki dan perempuan telah ditahan dan dibawa balik ke pejabat untuk tujuan dokumentasi dan ujian saringan air kencing oleh AADK,” katanya.