Tumpuan :
Nasional

Serbuan ketum dedahkan simpanan senjata tajam, dua mesingan tiruan

Serbuan polis yang menyasarkan air ketum turut menemukan simpanan 71 senjata berbahaya termasuk pedang samurai, parang, keris dan kerambit.

Oleh: Selwam Arjunan

BAYAN LEPAS: Pasukan serbuan yang menyasarkan penjual air daun ketum di sebuah kediaman di Lintang Bayan 6, di sini, membongkar simpanan 71 senjata berbahaya termasuk pedang samurai, parang, keris dan kerambit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supritendan Nermaljit Singh berkata, pihaknya juga menemukan dua mesingan automatik tiruan dalam serbuan berkenaan.

Suspek yang bekerja sebagai pemandu e-hailing berusia 47 tahun ditahan untuk membantu siasatan.

“Kami menemukan pelbagai jenis senjata berbahaya yang disimpan dalam sebuah bilik seperti kerambit, keris, pedang samurai dan senapang tiruan.

“Bagaimanapun kami masih menyiasat mengenai milikan senjata berkenaan selain elemen pembabitkan suspek terhadap lain-lain jenayah. Setakat ini suspek mengakui bahawa kesemua barangan itu adalah bagi dijual secara dalam talian.

“Kami akan buat siasatan lanjut kerana ia merupakan senjata berbahaya dan boleh mendatangkan kecederaan parah,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu, serbuan kira-kira jam 9 pagi di rumah itu menemukan sebanyak 600 bungkusan air ketum.

Polis turun menahan isteri kedua suspek, 35, yang tinggal di rumah berkenaan serta dipercayai mempunyai pengetahuan dan penglibatan dalam pemprosesan daun ketum.

Katanya, lelaki berkenaan dikatakan menyewa rumah berkenaan sejak setahun lalu namun aktif menjalankan aktiviti pemprosesan dan pengedaran air ketum sejak tiga bulan lalu.

“Dalam serbuan ini, kita menemukan sebanyak empat tong air yang dipenuhi bungkusan air ketum dan beberapa lagi dalam but kereta.

“Air daun ketum yang ditemukan ini dijangka diedarkan di sekitar kawasan Teluk Bahang dan Georgetown.

“Kita turut merampas peralatan yang dipercayai digunakan bagi pemprosesan air ketum termasuk tong gas LPG, periuk serta sembilan tong air kosong.

“Pagar di sekeliling rumah berkenaan turut dipasangkan penghadang yang tinggi dipercayai bagi mengelakkan aktiviti mereka dilihat jiran tetangga,” katanya lagi.

Ujarnya, ia adalah kali kedua suspek ditahan atas kesalahan sama selepas 2023 di Sungai Pinang.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan aktiviti itu bagi menjana pendapatan dan mampu meraih kira-kira RM12,000 sebulan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini