Tumpuan :
Nasional

Serangan molotov cocktail di KK Mart Sungai Isap, 4 individu dirakam keterangan 

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman. – Foto fail NSTP

KUANTAN: Empat individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan polis berhubung kes serangan ‘molotov cocktail’ membabitkan cawangan KK Mart di Sungai Isap, di sini Sabtu lalu.

Menurut Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman empat individu itu, termasuk pengadu dan saksi kejadian.

Jelas Yahaya pihaknya tidak dapat mengenal pasti jumlah suspek yang terlibat.

“Bagaimanapun, kita cuba untuk mendapatkan CCTV dari tempat lain yang ada merakamkan kejadian itu,” katanya.

Yahaya berkata demikian ketika ditemui media sempena Program Pencegahan Jenayah Polis Pahang di bazar Ramadan Mahkota Square, di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mempertingkatkan rondaan di lokasi yang menempatkan semua cawangan kedai serbaneka terbabit di Pahang.

“Di Pahang, KK Mart mempunyai 15 cawangan KK Mart dan dua stor yang berada di Kuantan dan Bentong.

“Pihak KK Mart juga sudah menambahkan ciri keselamatan di premis mereka termasuk menambah CCTV seperti yang kita disarankan.

“Saya nasihatkan kepada semua tenang dan tidak mengambil tindakan sendiri,” katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, sebuah lagi kedai serbaneka KK Mart yang baharu beroperasi dua minggu di daerah ini, dilontar dengan ‘molotov cocktail’.

Lontaran itu menyebabkan berlaku kebakaran kecil di bahagian pintu masuk kedai serbaneka terbabit.

Berikutan kejadian itu, empat rak jualan dalam premis termasuk beberapa barang jualan mengalami sedikit kerosakan akibat terkena percikan api.

Tiada kemalangan jiwa berlaku dan kejadian itu menyebabkan kedai serbaneka berkenaan mengalami kerugian dianggarkan RM500 akibat perbuatan khianat itu.

Susulan kejadian itu, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan kecewa dengan kejadian serangan bom petrol itu.

Baginda menerima sembah maklum oleh Polis Pahang mengenai kejadian itu dan menitahkan supaya polis memberi perhatian serius serta tindakan tegas dan segera dalam perkara itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini