comscore
Tumpuan :
Nasional

Serangan gajah: Mangsa maut selepas cedera di leher, dada

JOHOR BAHRU: Mangsa serangan gajah di Felda Tenggaroh 5, Mersing di sini, mengalami kecederaan di bahagian leher dan dada kiri serta meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dalam serangan sama, seorang lagi mangsa mengalami kecederaan di kepala, pendarahan dalam perut dan patah tulang pinggul.

Menurutnya, mangsa dikejarkan ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Polis menerima panggilan pada jam 11 pagi yang memaklumkan kejadian gajah mengamuk dan menyebabkan kecederaan orang awam.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku di kawasan hutan kecil berhampiran Sekolah Kebangsaan Tenggaroh 5, Mersing.

“Kedua-dua mangsa adalah pekerja kontrak pembersihan sekolah didapati bertindak menghalau seekor gajah liar dari mendekati kawasan sekolah sebelum diserang,” katanya menerusi siaran media, hari ini.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Mersing untuk proses bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Kami menasihatkan masyarakat melaporkan sebarang ancaman daripada haiwan liar kepada pihak berkuasa.

“Janganlah mengambil tindakan sendiri hingga menyebabkan konflik seterusnya mencetuskan konfrontasi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini