GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli dari dua Kampung di Pos Belatim, kini hidup ketakutan ekoran kemunculan dua ekor gajah liar yang berkeliaran di kawasan mereka, sejak minggu lalu.
Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar itu mendakwa gajah liar terbabit yang berkeliaran di Kampung Kajak dan Kampung Cacuh, turut memusnahkan tanaman pisang, ubi kayu dan sayur-sayuran menyebabkan sumber makanan mereka terjejas.
“Kami penduduk Orang Asli di perkampungan ini bergantung kepada sumber pertanian untuk hidup dan ubi adalah makanan asas kami. Serangan gajah liar memberi kesan kerana merosakkan sumber makanan kami,” kata Sari Uda, 40, ketika dihubungi.
Sementara itu, penduduk Kampung Kajak, Rahimi Dolah, 45, berkata dalam kejadian terbaru kira-kira tiga hari lalu, penduduk mendengar dengan jelas bunyi gajah liar terbabit yang berkeliaran di kawasan kebun sehingga menyebabkan mereka ketakutan.
“Saya harap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera dengan masalah yang dihadapi penduduk di sini.
“Kami bukan hanya hidup dalam ketakutan tetapi juga sumber makanan kami juga musnah sedangkan kami ada anak-anak yang perlu dibesarkan,” katanya.