GUA MUSANG: Bukan hanya merosakkan tanaman penduduk, gajah liar di Kampung Awek, di sini semakin agresif apabila dipercayai telah menyerang dan membunuh seekor lembu ternakan.
Dalam kejadian pada Khamis lalu, seekor lembu dewasa ditemui mati dengan kesan tusukan gading gajah di belakang badan.
Pemilik lembu, Nik Arifin Nik Muhammad, 59 berkata, kejadian kejadian disedari pada pagi Jumaat lalu ketika dia datang kebun getah miliknya.
Katanya, dia pergi kebunnya kira-kira jam 8 pagi sebelum melihat beberapa penduduk kampung sudah berada di kawasan itu untuk melihat lembunya yang mati.
“Kejadian mungkin berlaku pada tengah malam. kira-kira jam 11 malam ada rakan yang memaklumkan terserempak gajah berkeliaran berhampiran kebun saya.
“Lembu itu memang saya tambat (ikat) di pokok kerana tidak mahu ia berkeliaran di kawasan kebun orang lain dan merosakkan tanaman.
“Terdapat kesan darah dan pergelutan di kawasan lembu yang diikat selain kesan tusukan gading gajah pada belakang badan lembu saya,” katanya ketika ditemui di Kampung Awek di sini, semalam.
Manakala bagi, Ismail Awang Hamad, 60 berkata, serangan gajah liar tidak pernah berlaku sejak dia membuka kebun dikawasan itu pada tahun 70-an.
Bagaimanapun katanya, gangguan itu berlaku sejak dua bulan alu apabila gajah itu muncul dan merosakkan tanaman seperti pisang, kelapa sawit dan pokok getah penduduk.
“Di kebun saya sendiri lebih 100 pokok pisang dan kelapas sawit dimusnahkan gajah liar. Saya terpaksa menanggung kerugian kerana sebahagian pokok pisang sudah mula mengeluarkan hasil sudah musnah.
“Sebelum ini, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku. Gajah liar ini mula berkeliaran di sini sejak dua minggu lalu.
“Berdasarkan kesan tapak kaki yang ditemui saya rasa terdapat tiga ekor gajah dewasa dan seekor anak. Tindakan segera perlu diambil kerana sampai bila kami perlu menanggung kerugian sedangkan kami hanya menyara hidup dengan hasil bertani,” katanya.
Tambahnya lagi, dia berharap penyelesaian jangka panjang dapat diambil pihak berwajib untuk membina pagar atau parit gajah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata tindakan segera perlu diambil bagi mengesan dan menangkap gajah terbabit.
“Operasi menangkap atau memindahkan gajah gajah liar ini perlu disegerakan bagi mengurangkan kerugian pekebun termasuk mengelakkan kehilangan nyawa penduduk”, katanya.