comscore
Tumpuan :
Nasional

Serangan di Balai Polis Ulu Tiram: Beri ruang polis jalankan siasatan – KPN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada pihaknya menjalankan siasatan terperinci insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM ketika ini masih menjalankan siasatan lanjut ke atas tujuh individu yang ditahan berkait kes itu.

Mereka yang ditahan terdiri lima ahli keluarga suspek dan dua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Buat masa ini soal siasat ke atas mereka yang ditahan masih berjalan. Malah masih terlalu awal untuk kita membuat assessment (penilaian). Bagi masa sedikit kepada polis menyiasat,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan dijalankan secara menyeluruh termasuk hubungan antara dua pelajar IPT yang membuat laporan polis sejurus sebelum kejadian itu berlaku.

Mengenai motif serangan, Razarudin berkata perkara itu masih lagi dalam siasatan polis.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sidang media di Johor berkata siasatan polis mendapati suspek dalam kes itu bertindak sendirian didorong motivasi dan kefahamannya sendiri.

Menurut beliau, kesimpulan itu ia dibuat selepas polis selesai menemubual 46 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek dan serangan itu.

Katanya, siasatan polis mendapati suspek bertindak sendirian dan didorong motivasi kefahamannya, malah suspek dan keluarganya juga tidak bercampur masyarakat.

Dalam kejadian serangan pada 2.45 pagi itu, dua anggota polis maut manakala seorang lagi cedera sebelum suspek ditembak mati.

Sehubungan itu, tujuh individu ditahan termasuk lima anggota keluarga suspek berusia lingkungan 19 hingga 62 tahun dalam serbuan di kediaman keluarga suspek di Ulu Tiram, kelmarin.

Dua lagi yang ditahan adalah pelajar IPT yang hadir di balai polis sebelum kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini