Tumpuan :
Nasional

Serangan buaya: SAR dihentikan selepas 4 hari gagal kesan mangsa

Operasi mencari dan menyelamat Vinsensius Ndetu, 36, yang dikhuatiri dibaham buaya ketika memancing di sungai berhampiran Ladang Palm Rides dekat sini, ditamatkan jam 5 petang tadi. FOTO NSTP/IHSAN BOMBA.

TAWAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pekerja ladang yang dikhuatiri maut disambar buaya ketika memancing di sungai berhampiran Ladang Palm Rides, di sini, dihentikan selepas hari keempat, petang tadi.

Usaha mengesan Vinsensius Ndetu, 36, yang digerakkan seawal jam 8.00 pagi tadi oleh pasukan SAR dari pelbagai agensi itu juga terus gagal menemui sebarang petunjuk.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, hasil perbincangan bersama pihak polis, operasi ditamatkan pada jam 5 petang selepas operasi pencarian menemui jalan buntu.

“Operasi akan disambung semula sekiranya ada laporan atau bukti serta tanda-tanda baru berkaitan mangsa ditemui,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jemishin berkata, operasi pencarian bermula pada Ahad itu meliputi sejauh lebih 10km radius sepanjang kawasan sungai dari lokasi terakhir mangsa dilihat disambar reptilia itu.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang menyalurkan maklumat sekiranya terjumpa sebarang objek atau petunjuk berkaitan kejadian.

Dalam kejadian 7.24 malam pada Ahad, mangsa dikhuatiri maut apabila disambar buaya ketika sedang memancing bersama rakan sebelum secara tiba-tiba disambar reptilia itu.

Rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu kemudiannya menghubungi Balai Polis Kalabakan sebelum pasukan bomba bersama agensi lain dipanggil untuk menjalankan operasi pencarian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini