comscore
Tumpuan :
Nasional

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Allahyarham Konstabel Ahmad Azza akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Poh

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

BIDOR: Jenazah Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar akan dikebumikan petang ini selepas selesai urusan solat jenazah di kediaman ahli keluarganya di Kampung Tersusun Kampung Poh, Bidor.

Jenazah Allahyarham dijangka tiba di Kampung Poh pada jam 3 petang.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan sekali lagi di kediamannya, atas permintaan ahli keluarga.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Ahmad Azza dituntut ahli keluarganya selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pagi tadi.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).

Allahyarham antara salah seorang anggota polis yang terkorban di dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram.

Seorang lagi anggota yang terkorban adalah Allahyarham Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said yang akan dikebumikan di Gambang, Pahang.

Dalam insiden sekitar jam 2.30 pagi Jumaat itu, dua anggota polis berkenaan maut akibat ditetak dan ditembak oleh seorang lelaki bertopeng.

Setelah menetak leher dan bahagian belakang kepala Konstabel Ahmad Azza, suspek lelaki bersenjatakan parang itu turut merampas senjata api daripada anggota polis dan menembak seorang lagi anggota polis, Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said di bahagian bahu dan perut.

Seorang lagi anggota polis Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan dalam insiden serangan berkenaan serta dirawat di Zon merah sebelum ini, dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menjalankan rawatan di wad biasa di HSI.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini