![](https://media.buletintv3.my/2024/07/UV4hFP4G-BULETIN-TV3-M-49.jpg)
TANJONG MALIM: Seramai 652 pelajar mendaftarkan diri di Dewan Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sempena Hari Pendaftaran Pelajar Ambilan Diploma Sesi 2024/2025 di Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff mengucapkan tahniah atas kejayaan melanjutkan pengajian peringkat diploma di universiti pendidikan yang tersohor itu
“Saya berharap mahasiswa ambilan diploma ini memelihara nama baik dan imej UPSI yang merupakan sebuah universiti yang melahirkan ribuan guru sejak ditubuhkan pada 1997.
“Walau bagaimanapun, UPSI lahir dari sejarah yang panjang iaitu bermula zaman Sultan Idris Training College ( SITC) pada 1922 seterusnya Maktab Perguruan Sultan Idris ( MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris ( IPSI) dan dinaiktaraf kepada UPSI,” katanya.
Dr Md Amin berkata, UPSI memiliki pelbagai kemudahan sukan seperti Kompleks Sukan, kolam renang bertaraf olimpik, UPSI Adventure Park, lapang sasar golf dan tidak lama lagi akan siap kompleks bowling 24 lorong.
Sesi pendaftaran yang bermula seawal jam 9.00 pagi itu diuruskan dengan kerjasama Rakan Millenia dan Mahasiswa Kolej Ungku Omar yang terbabit dalam proses pendaftaran yang terdiri daripada kaunter penginapan, kaunter cenderahati, kaunter bendahari dan kaunter pendaftaran.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof Dr. Norkhalid Salimin yang menyantuni pelajar, ibu bapa serta wakil-wakil kolej dan fakulti sepanjang proses pendaftran berlangsung.
Dr Norkhalid berkata, sesi pendaftaran pelajar baharu di sekitar Dewan Kolej Ungku Omar sangat tersusun dan proses pendaftaran pelajar juga berjalan lancar.
“Tahniah saya ucapan kepada kepada semua pelajar yang berjaya menyambung pengajian di UPSI
.”Tanamkan azam, teguhkan semangat dan gunakan sepenuh tenaga untuk menjadi mahasiswa yang cemerlang, gemilang dan terbilang di UPSI,”katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa