Tumpuan :
Nasional

Serah pihak bertanggungjawab siasat salah laku perolehan RM4 juta di DBKL – Zaliha

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, menyerahkan siasatan berhubung dakwaan salah laku dalam perolehan projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pihak bertanggungjawab dan agensi penguatkuasaan.

Katanya, kementerian akan memberi kerjasama penuh tanpa melindungi sebarang fakta atau pun siasatan.

“Kita biarkan siasatan berjalan dan saya tidak mahu komen lebih panjang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Karnival Wilayah Persekutuan dan Hari Terbuka Putrajaya 2025 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Wujud.

Media Sabtu lalu melaporkan, Zaliha berkata siasatan perolehan projek di bawah DBKL dijangka disiapkan minggu ini.

Sementara itu Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam sidang media hari ini berkata, pihaknya sedang meneliti semua dokumen diterima daripada DBKL berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta yang dikaitkan dengan rasuah.

SPRM belum membuka kertas siasatan berkaitan perkara itu, namun penelitian menjurus kepada isu rasuah serta tadbir urus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini