comscore
Tumpuan :
Nasional

Serah keputusan tukar tangki tandas seramik sekolah kepada agensi teknikal

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Perak, Khairudin Abu Hanipah. Foto : NSTP

IPOH: Kerajaan negeri Perak menyerahkan kepada agensi dan jabatan teknikal mengenai keputusan untuk menukar tangki pam tandas di sekolah seluruh negeri ini daripada jenis seramik kepada jenis lebih selamat seperti plastik.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata dalam pada itu penggunaan tangki pam tandas jenis seramik sehingga sekarang perlu dipantau oleh jabatan teknikal berkenaan bagi memastikan penggunaannya dalam kalangan murid dijamin selamat.

Menurutnya, perkara itu perlu dibincang secara teliti dan terperinci bersama dengan jabatan teknikal memandangkan urusan untuk mengubah suai atau naik taraf penyelenggaraan semua itu adalah di bawah bidang kuasa jabatan teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pembangunan Luar Bandar (JPLB) serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).

“Maksudnya penggunaan itu mungkin berdasarkan pada kesesuaian lokasi dan juga kemampuan daya tahan sesuatu tempat itu. Ia juga bergantung pada sebut harga atau skop kerja yang dibuat oleh pihak tertentu khususnya daripada JKR dan sebagainya.

“Ia bergantung pada penilaian oleh jabatan teknikal, memandangkan  jabatan teknikal itu yang lebih arif berkaitan dengan kesesuaian penggunaan  tandas seramik atau plastik”.

“Saya tidak katakan tiada keperluan untuk menukar dahulu penggunaannya kepada jenis plastik, sebaliknya pada saya ianya harus disusun, dinilai, dan dipantau oleh jabatan teknikal, berdasarkan pada kesesuaian tandas terbabit,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang murid perempuan tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Perpaduan, di Ulu Kinta, Tambun, di sini cedera selepas tangki pam (flush) tandas jenis seramik runtuh dan menimpanya ketika menggunakan tandas itu dalam kejadian petang Selasa lalu.

Artikel berkaitan : Murid tahun tiga cedera dihempap tangki pam tandas

Kejadian itu menyebabkan murid terbabit, Nur Alisha Adawiyah Mohd Yusri, 9, masih dalam keadaan trauma apabila sehingga kini dia terpaksa meminta rakan untuk menemaninya jika perlu ke tandas kerana bimbang kemalangan itu berulang.

Pagi semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad yang melakukan tinjauan di lokasi kejadian, berkata sesi kaunseling trauma akan diberikan oleh pihak Kementerian Pendidikan kepada murid berkenaan selain berkata, semua tandas murid di sekolah itu ditutup buat sementara waktu dengan murid sekolah itu hanya dibenarkan menggunakan lapan tandas guru yang berada di sekitar bangunan sekolah.

Muhamad Arafat turut dilapor berkata, pihaknya sudah berbincang dengan JKR dengan jabatan itu mencadangkan untuk melakukan pemasangan pendakap pada tangki pam tandas seramik sedia ada supaya selamat digunakan, namun tidak menolak bahawa perbincangan lanjut akan dibuat sama ada perlu menukarkannya kepada penggunaan tangki pam jenis lain seperti plastik.

Loading...
Terkini