
BESUT: “Saya terkilan kerana tidak sempat selamatkan arwah kerana jasadnya sudah tenggelam dalam laut ketika kami berpatah balik.”
Demikian luahan Mohd Sani Jaafar, 52, yang juga sepupu kepada mangsa lemas, Mohd Fatihil Asrol Mat Zailani, 39, kerana tidak menyangka tragedi itu berlaku ketika mereka sedang dalam perjalanan pulang ke daratan.
“Pagi tadi saya bersama arwah serta seorang ahli keluarga, Mohd Aizat Abd Rahman, 40, yang memandu bot keluar memancing kira-kira jam 7 pagi dan pulang kira-kira jam 9 pagi.
“Biasanya kami akan balik sekitar jam 4 petang namun hari ini buat keputusan pulang lebih awal selepas hampir dua jam memancing tidak mendapat sebarang hasil.
“Saya perasan tadi arwah kerap dilihat termenung tidak banyak bercakap seperti selalu,” katanya ketika ditemui di muara Sungai Keluang, di sini, hari ini.
Katanya, kejadian berlaku apabila mereka tiba di muara sungai sebelum bot yang dinaiki dilambung ombak deras.
“Saya sempat berpaut pada bot tetapi arwah tidak sempat berbuat demikian dan terjatuh ke dalam laut.
“Selepas kejadian itu saya serta Aizat berpatah balik untuk mencari arwah tetapi gagal kerana jasadnya sudah tenggelam,” katanya.
Mohd Aizat berkata, dia juga tidak menyangka niat mereka bertiga keluar mencari rezeki awal pagi tadi bertukar menjadi tragedi dengan kehilangan arwah.
“Saya sempat telefon isteri supaya segera minta bantuan orang ramai, anggota penyelamat serta memaklumkan kepada ahli keluarga arwah,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Besut, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian setelah mereka menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.15 pagi.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan hampir tiga jam untuk mengesan mangsa.
“Mangsa kemudian ditemukan terdampar di muara sungai oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 12.40 tengah hari,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.