PETALING JAYA: Pelakon, Zahiril Adzim memaklumkan Beto Kusyairy yang terbabit dalam kemalangan motosikal ketika menyertai konvoi motosikal ke Masjd Negeri Ipoh, Perak, kelmarin berada dalam keadaan stabil.
Menurut Zahiril atau nama sebenarnya, Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 39, dia mengetahui perkembangan terkini pemenang trofi Aktor Filem Popular Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu menerusi panggilan video.
“Kami ada berbual menerusi penggilan video tadi (semalam) dan Alhamduillah, Beto okay. Beto beritahu sudah buat ujian imbasan sinar X dan tiada apa yang serius.
“Cuma ada seorang peserta konvoi yang turut terbabit dalam kemalangan itu perlu menjalani pembedahan. Kita doakan semoga semuanya selamat,” katanya.
Dalam pada itu, Zahiril turut memberitahu sepatutnya dia bersama Beto menyertai konvoi solidariti untuk Palestin itu namun tidak dapat berbuat demikian kerana ada penggambaran.
“Sepatutnya saya ikut serta dalam acara konvoi ini kerana Beto ada ajak tapi tak dapat kerana saya ada penggambaran.
“Kalau boleh saya mahu terbabit dalam acara yang membabitkan isu Palestin ini. Satu perkara yang sangat sedihlah buat kita semua hari ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton sebuah filem yang diadakan di Damansara Jaya, di sini semalam.
Media sebelum ini melaporkan Beto mengalami luka-luka ringan selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Ladang Bikam, petang Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, motosikal ditunggang Beto dikatakan bergesel dengan motosikal seorang lagi peserta yang dikatakan memasuki laluannya secara tiba-tiba sebelum terjatuh.