Tumpuan :
Nasional

“Sepatutnya bulan puasa kena kurang makan, kenapa nak tambah bekalan makanan? ” – Mohamad

Datuk Seri Mohamad Sabu merasmikan Majlis Konvokesyen Pertanian kali ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah dikerah untuk memastikan bekalan makanan mencukupi sepanjang Ramadan tahun ini, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu.

“InsyaAllah, kita bersedia. Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan rangkaiannya termasuk di kementerian, kita tekankan soal penyediaan bahan ini.

 

“Kita harap ada kawalan harga oleh kementerian lain tapi kita memang sekarang ini mengerahkan (agensi ini) supaya tidak berlaku kekurangan bahan makanan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Pertanian kali ke-11 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai usaha dan kesediaan kementerian dalam memastikan bekalan makanan mencukupi ketika Ramadan yang akan tiba akhir bulan ini.

“Tapi sepatutnya bulan puasa kena kurang makan, ini kenapa nak tambah bekalan makanan,” kata Mohamad dalam nada bergurau yang disusuli ketawa kecil.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi jaminan bekalan barang kawalan khususnya ayam dan telur mencukupi bagi menampung permintaan tinggi menjelang Ramadan.

Menurut beliau, pihaknya bekerjasama dengan KPKM untuk memastikan bekalan barang kawalan itu mencukupi.

Pada 25 Februari lalu, Mohamad dilapor melahirkan keyakinan masalah kekurangan bekalan telur dan ayam menjelang Ramadan ini dapat diatasi susulan program pemutihan lebih 200,000 pekerja asing yang giat dilakukan sejak bulan lalu.

Mohamad berkata, ini kerana masalah kekurangan tenaga buruh terutamanya dalam sektor perladangan dan penternakan menjadi antara punca krisis bekalan bahan mentah berlaku di negara ini.

Loading...
Terkini