Tumpuan :
Nasional

Sepang menuju status bandar raya menjelang 2030

Muhamad Shah Osmin (tengah) berkata MPSepang komited untuk menyediakan kemudahan, infrastruktur yang bertaraf bandar raya menjelang tahun 2030.

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SEPANG: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) optimis bakal bertukar status menjadi bandar raya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Muhamad Shah Osmin berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada potensi pihak berkuasa tempatan itu dan persediaan yang sedang dilaksanakan.

“Kalau ikutkan daripada segi potensi yang ada di dalam MPSepang, kami yakin bahawa persediaan dan juga kemudahan memang adalah yang terbaik dan ianya boleh dikatakan hampir setaraf dengan apa yang disediakan oleh majlis bandar raya yang lain.

“Kami yakin dalam lima tahun kami mensasarkan untuk MPSepang akan menyediakan kemudahan dan juga infrastruktur yang bertaraf bandar raya menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang Bil 12/2024, di sini hari ini.

Tambahnya, pelaksanaan inisiatif ‘Express Development Approval’ (EDA@Sepang) yang dilancarkan pada 29 November lalu telah meluluskan lapan permohonan melibatkan pelaburan berjumlah RM11.2 bilion.

Inovasi baharu untuk penambahbaikan proses dan prosedur kelulusan pembangunan industri dan komersial itu bertujuan merancakkan pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan.

Selain itu, ia juga bagi mengurangkan kerenah birokrasi yang mana permohonan kelulusan Kebenaran Merancang, Pelan Kerja Tanah, Pelan Pembangunan dan Pelan Landskap diberikan dalam tempoh 20 hari bagi kategori pemajuan Pendirian Bangunan, manakala 90 hari untuk kategori Pemajuan Skim Pembangunan Baru.

“Sebanyak lapan syarikat luar negara dan domestik telah menyerahkan AkuJanji kepada pihak MPSepang untuk melaksanakan pembangunan yang boleh disiapkan dalam tempoh dua tahun,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini