Oleh Fazli Ahmad
JENGKA: Seorang wanita maut manakala dua parah selepas kereta mereka naiki dipercayai terbabas dan melanggar pokok di Jalan Bakti dekat Taman Rantau Perintis, Bandar Pusat Jengka, malam ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada jam 8:59 malam.
Katanya, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jengka bergegas ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba mendapati kereta jenis Toyota Vios dinaiki tiga mangsa terbabit remuk kerana melanggar pokok.
“Pemandu kereta terbabit seorang lelaki dewasa cedera parah dan seorang wanita dewasa penumpang sebelah pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.”
“Difahamkan seorang lagi penumpang wanita dewasa cedera dalam kemalangan itu sudah dihantar ke Hospital Jengka untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurut Zulfadli, maklumat awal diperolehi kereta terbabit dipercayai dalam perjalanan dari Bandar Pusat Jengka ke Perumahan Rantau Perintis.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat.
Bagaimanapun, identiti mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu belum diperolehi setakat ini.