KLUANG: Seorang wanita maut, manakala tujuh individu termasuk bayi dilaporkan cedera dalam kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori, dalam kejadian di Kilometer (KM) 86, Jalan Johor Bahru-Air Hitam, dekat sini.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam semalam, pemandu dan tujuh MPV Toyota Estima itu dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis pertunangan di Muar.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata Widiani Afendi, 39, penumpang belakang MPV itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Katanya, penumpang hadapan kereta yang sama iaitu seorang bayi berusia tujuh bulan, Lee Sun Mei, cedera parah di kepala dan dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini.
“Kemalangan itu juga menyebabkan pemandu lori berusia 53 tahun dan enam orang yang lain terdiri daripada pemandu dan penumpang MPV berkenaan yang berusia dari enam sehingga 58 tahun cedera ringan.
“Kemalangan dipercayai berlaku selepas pemandu lori hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar di bahagian tepi kanan MPV berkenaan.
“Ini menyebabkan MPV itu telah berpusing di tempat kejadian. Sebelum kejadian lori berkenaan dari arah Machap menghala ke Air Hitam, manakala MPV berkenaan dari arah sebaliknya,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.