comscore
Tumpuan :
Nasional

Seorang wanita maut, 4 parah, kereta bertembung

Foto: JBPM Sabah

Oleh Safwan Sawi

LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala empat parah termasuk kanak-kanak selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Sabahan Lahad Datu-Tawau petang tadi.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa berusia lingkungan 50 tahun yang tersepit dalam kereta jenis Proton Saga disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan berkata, sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu jam 3.35 petang, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu digerakkan ke tempat kejadian.

Kemalangan membabitkan Proton Saga dipercayai bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Foto: JBPM Sabah

“Terdapat lima mangsa dilaporkan terbabit daripada Proton Saga iaitu seorang kanak-kanak dibawa ke hospital menggunakan kenderaan Klinik Kesihatan Lahad Datu sebelum pasukan bomba tiba.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan rescue tools dan empat mangsa berjaya dikeluarkan,” kata kenyataan itu hari ini.

Foto: JBPM Sabah

Tiga mangsa parah manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian.

Tiga mangsa yang parah diberi rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan seterusnya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans bagi mendapatkan rawatan.

Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada 5.15 petang.

Loading...
Terkini