Tumpuan :
Nasional

Seorang terjatuh ke laut selepas dua bot bertembung

Pasukan bomba bersama penduduk kampung melakukan operasi mencari mangsa lelaki yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Tanjung Batu, Sandakan. – Foto JBPM

SANDAKAN: Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bertembung dengan sebuah lagi bot di perairan Pulau Tanjung Batu, di sini, dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam tadi.

Mangsa berusia 23 tahun dilaporkan terjatuh ke laut selepas pertembungan dua bot berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.44 tengah malam.

Katanya, seramai empat pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan digerakkan ke lokasi kejadian.

“Menurut laporan, lelaki terbabit dipercayai terjatuh ke laut dan hilang selepas bot yang dinaiki bertembung dengan sebuah lagi bot.

“Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mula dijalankan pada jam 7.30 pagi dan sehingga kini mangsa belum ditemukan,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi masih dilakukan di sekitar perairan mangsa dilaporkan hilang.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini