KUALA BERANG: Seorang peserta RX-Z Member 6.0 yang dalam perjalanan pulang ke Pahang maut, apabila motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lagi motosikal, dalam kejadian di Kilometer 379.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) (Ajil-Bukit Besi), petang tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin, siasatan awal mendapati, mangsa, Ahmad Amir Muhamad, 29, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RX-Z dari Kuala Terengganu dalam perjalanan pulang ke rumah di Temerloh, Pahang.
Katanya, kira-kira jam 3 petang apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah memotong sebuah lori menggunakan lorong kecemasan.
Tambahnya, ketika mangsa memotong, motosikalnya bergesel dengan sebuah lagi motosikal jenis Yamaha RX-Z yang berhenti di lorong kecemasan itu.
“Akibat daripada kejadian itu, mangsa kemudian terjatuh di atas jalan dan terseret masuk ke bahagian bawah treler.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Hulu Terengganu (HHT) untuk bedah siasat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Katanya, mangsa yang berasal dari Felda Seroja Jengka 18 Temerloh, Pahang, seorang buruh, mengalami kecederaan di bahagian kepala, meninggal dunia di tempat kejadian.
Manakala seorang lagi penunggang motosikal berusia 27, bekerja sebagai operator kilang dan pemandu lori berusia 29 tahun tidak mengalami kecederaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.