comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Seorang pemandu positif ganja ditahan, 2 bas persiaran disita JPJ


Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

GOMBAK: Seorang pemandu bas ditahan kerana positif dadah jenis ganja manakala dua dari 22 bas disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Operasi Bersepadu Bas Pelancongan Dan Ekspres di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Undang-Undangnya, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, dua bas persiaran telah dipandu individu yang tidak mempunyai lesen memandu kompeten dan juga lesen vokasional kenderaan perkhidmatan awam (PSV).

“Ini merupakan satu kesalahan yang sangat serius dan pihak JPJ ingin memberi amaran kepada semua pengendali bas.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu yang didapati melakukan kesalahan-kesalahan sedemikian kerana kita mahu utamakan keselamatan para penumpang.

“Antara yang disita adalah sebuah bas persiaran yang membawa pelancong Thailand yang mana pemandunya tidak mempunyai Permit Peredaran Antarabangsa (ICP),” katanya ketika ditemui pemberita pagi tadi.

Sementara itu, satu bas persiaran bersama penumpang dari ibu negara menghala ke Kuantan, Pahang telah disita sementara kerana pemandu tidak mempunyai lesen dan menggunakan alasan menggantikan abangnya yang tidak sihat.

“Kita dapati pemandu pertama iaitu adiknya tidak mempunyai lesen memandu dan juga PSV. Jadi, kita sita sementara dan menunggu penggantinya yang mempunyai lesen untuk meneruskan perjalanan”

“Namun, apabila penggantinya iaitu abangnya sampai, kita dapati lesen memandunya juga tamat tempoh dan kita benarkan menghala ke destinasi selepas pemandu itu memperbaharui lesen kenderaannya,” ujarnya.

Dalam operasi bersepadu yang dimulakan seawal pukul 6 pagi tadi, pihaknya telah menahan seorang pemandu bas persiaran berusia 30-an kerana didapati positif dadah jenis ganja.

Selaras dengan arahan dikeluarkan Kementerian Pengangkutan semalam, beliau menegaskan JPJ tidak akan berkompromi dalam melaksanakan operasi yang dijangka tamat 31 Julai nanti.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap pemandu dan syarikat pengendali yang melakukan mana-mana kesalahan khususnya yang boleh membawa kepada kemalangan jalan raya.

“Operasi ini akan berlangsung sehingga 31 Julai sekiranya kami berpuas hati tetapi sekiranya kami rasa perlu ditambahkan, kami akan lanjutkan sehingga diputuskan oleh Menteri pengangkutan,” tegasnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini