ALOR SETAR: Seorang lelaki melecur pada belakang badan ketika cuba memadam kebakaran di sebuah gudang alat ganti motosikal di Kawasan Perusahaan Mergong, di sini hari ini.
Mangsa, 59, dipercayai abang kepada pemilik gudang terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) menggunakan jentera EMRS Bomba untuk rawatan lanjut.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyeloamat (BBP) Alor Setar dan Jalan Raja dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 5.16 petang.
Operasi membabitkan keseluruhan 120 anggota termasuk dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
“Proses memadamkan kebakaran sedikit sukar dan mengambil masa lama iaitu hampir tiga jam berikutan bomba mengambil langkah berjaga-jaga selepas dimaklumkan pemilik premis mengenai kewujudan beberapa tong cat yang berbahaya.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan, namun saksi awal memaklumkan api bermula di bahagian tengah kilang,” katanya.
Sehingga jam 8 malam ini, anggota bomba masih melakukan operasi pemadaman di lokasi untuk memastikan api berjaya dikawal sepenuhnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.