Oleh: Zahir Senapiah
PASIR GUDANG: Seorang lelaki maut manakala rakannya cedera selepas kereta yang mereka naiki hilang kawalan dan terbabas ke dalam sebuah parit besar di jalan Masai utama, taman Masai, dekat sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Norinol Wakhid Supeno, 35, manakala rakannya yang cedera dikenali Iman Haiqal Md Isa, 23 tahun.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pusat gerakan operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, enam anggota bersama satu jentera dari balai bomba Pasir Gudang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 3.23 pagi tadi.
Sebaik tiba mendapati sebuah kereta Toyota Altis terbabas dan terbalik dalam sebuah parit besar.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Razali Hussein, kedua-dua mangsa telah dikeluarkan oleh orang ramai sebelum pasukan bomba tiba.
“Sebaik tiba anggota telah membantu menyelamatkan mangsa ke tebing dengan menggunakan stricher seterusnya menyerahkan kepada pihak KKM.
Pihak KKM telah mengesahkan salah seorang mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut” katanya.
Polis sedang menyiasat punca sebenar kemalangan.