Tumpuan :
Nasional

Seorang maut, lapan cedera nahas lori dan MPV

Foto: JBPM

KLUANG: Seorang wanita maut, manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan sebuah lori dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 86, Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata,
kejadian berlaku jam 7.15 malam.

Katanya, mangsa yang maut adalah salah seorang penumpang MPV jenis Toyota Estima, dikenali sebagai Widiani Afendi, 39 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori jenis Mitsubishi dipandu seorang lelaki warga tempatan, Ng Kuang Hui, 53, dalam perjalanan dari arah Simpang Renggam ke Ayer Hitam.

“Toyota Estima yang dipandu Mohd Nur Fitri Iskandar, 26, datang dari arah bertentangan.

“sebaik tiba di lokasi kejadian, lori dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan menyebabkannya bertembung dengan Toyota Estima.

“Akibatnya, seorang penumpang bahagian belakang kanan Toyota Estima, cedera parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pemandu Toyota Estima dan enam lagi penumpang termasuk tiga kanak-kanak berusia tujuh bulan hingga tujuh tahun turut cedera.

Semua mangsa termasuk yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk proses bedah siasat dan rawatan.

Manakala pemandu lori yang mengalami luka di bahagian kepala dan badan menerima rawatan di Hospital Pantai Batu Pahat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini