comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Seorang maut, enam cedera dalam kemalangan tujuh motosikal di LEKAS

Foto hiasan

SEREMBAN: Seorang lelaki maut, manakala enam lagi cedera selepas motosikal yang ditunggangi mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 38.8 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) menuju arah selatan, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, manakala enam yang lain cedera pada bahagian muka dan luka seluruh badan.

“Kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Honda RS150 yang ditunggangi mangsa bergerak secara berkumpulan dari arah Nilai menuju ke Seremban.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah motosikal yang ditunggangi lelaki berusia 21 tahun dalam kumpulan sama menyebabkan kedua-dua motosikal hilang kawalan dan terjatuh di atas jalan raya.

“Lima motosikal masing-masing ditunggangi lelaki berusia 17 tahun hingga 20 tahun dalam kumpulan sama dari arah belakang pula tidak sempat mengelak dan melanggar kedua-dua motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Nanda berkata, semua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk bedah siasat serta rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta saksi atau individu yang terbabit tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Loading...
Terkini