BALING: Seorang lelaki maut manakala anak perempuannya cedera selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pikap yang dinaiki tiga anggota polis di Gunung Inas, Jalan Baling-Pengkalan Hulu, di sini hari ini.
Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Shafiron Mohd Zaid, 40, dari Sungai Petani akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan manakala anaknya, Asiah Shafiron, 2, luka di bahagian badan.
Tiga anggota polis terbabit adalah anggota dari Cawangan D5, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu, Perak masing- masing mengalami kecederaan di badan, dada dan kaki.
Difahamkan, tiga anggota terbabit berusia 22 hingga 45 tahun itu dipercayai baru selesai tugasan dalam perjalanan untuk membuat lawatan kebajikan di Baling.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, Pejabat Pertanyaan Trafik IPD Baling menerima maklumat daripada orang awam berlaku kemalangan membabitkan dua kenderaan di lokasi kejadian pada jam 2.30 petang hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kenderaan pikap yang dinaiki tiga anggota polis itu dari arah Pengkalan Hulu menghala ke Baling, manakala kereta Proton Waja yang dinaiki dua beranak itu dari arah bertentangan iaitu dari arah Sungai Petani menghala ke Pengkalan Hulu.
“Sebaik sampai di tempat kejadian, ketika kenderaan pikap itu sedang bergerak lurus, Proton Waja yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan pikap itu.
“Kejadian itu menyebabkan pemandu pikap tidak sempat mengelak lalu bertembung di bahagian hadapan sebelah kanan kereta Proton Waja itu.
“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu Proton Waja mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmi berkata, pemandu dan dua lagi penumpang pikap serta penumpang hadapan kereta Proton Waja itu mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata, mayat pemandu kereta Proton Waja itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.