comscore
Tumpuan :
Nasional

Seorang maut, dua parah dalam kemalangan 4 kenderaan

Seorang maut, dua parah, manakala dua terselamat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di KM56.7 Lebuhraya Senai Desaru, Bandar Penawar, petang semalam – Foto Ihsan PDRM

KOTA TINGGI: Seorang maut, dua parah, manakala dua lagi terselamat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 56.7, Lebuhraya Senai Desaru, Bandar Penawar di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kita-kira jam 7.10 petang itu, seorang yang maut adalah pemandu sebuah Perodua Bezza, manakala penumpangnya dan seorang lagi penunggang motosikal parah.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Perodua Bezza iaitu seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke arah Bandar Penawar masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori jenis Scania.

“Lori yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun itu hilang kawalan akibat pertembungan itu menyebabkan ia terbabas masuk ke laluan bertentangan.

“Di laluan bertentangan, lori telah bergesel dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Akibat bertembung dengan lori, Perodua Bezza dipandu mangsa yang maut itu telah berpusing dan mengenai sebuah motosikal Yamaha Y15ZR yang ditunggang seorang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun.

Katanya, dalam kemalangan itu, pemandu Perodua Bezza parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penumpang kereta serta penunggang motosikal yang parah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menerima rawatan.

“Pemandu lori dan pemandu MPV tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat yang dapat membantu siasatan pihak polis boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hafizi Said di talian 017-9252768.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini