SELANGAU: Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki mereka terbabit kemalangan kendiri berdekatan Rumah Gansau Sungai Arip di sini.
Mangsa, Mohamad Syakirul Paqeh Mohamad Zamri, 16, disahkan maut di tempat kejadian selepas tersepit dalam kenderaan yang dinaikinya.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, Bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu sekitar jam 10.22 pagi tadi lalu mengarahkan lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau untuk ke lokasi kejadian.
“Komander Operasi melaporkan kemalangan kendiri sebuah kenderaan pacuan empat roda melibatkan tiga orang mangsa.
“Dua daripanya iaitu seorang lelaki dewasa dan seorang wanita telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa iaitu remaja lelaki dipercayai anak pasangan terbabit masih terperangakap dalam kenderaan itu.
Katanya, usaha mengeluarkan mangsa dilakukan dengan mengunakan peralatan khas dan turut dibantu oleh anggota Angakatan Tentera (ATM) yang turut berada di lokasi kejadian.
Bagaimanapun mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan yang turut berada di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudianya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa tang cedera di bawa ke Hospital Tatau untuk rawatan lanjut.
Punca kemalangan masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.