KUCHING: Seorang lelaki maut, manakala dua yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di hadapan Petronas Demak di Jalan Sejingkat, di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12.20 tengah malam itu membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta.
Mangsa yang maut dikenal, Raymond Chieng Wei Khang, 20, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda, manakala penunggang motosikal Yamaha LC 135 iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun dan pembonceng remaja berusia 14 tahun cedera ringan
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan.
“Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Lagenda terperosok di bawah kereta jenis Toyota Corolla dan dikeluarkan pihak bomba menggunakan peralatan khas.
“Mangsa kemudian disahkan sudah meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi,” katanya.
Sementara itu, pihak bomba memaklumkan dua lagi mangsa iaitu penunggang dan pembonceng Yamaha LC 135 cedera ringan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala pemandu Toyota Corolla tidak mengalami kecederaan.